12.8 juta benih ikan, udang galah dilepaskan di Pahang

 12.8 juta benih ikan, udang galah dilepaskan di Pahang

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN: Sebanyak 12.8 juta benih pelbagai spesies ikan dan udang galah dilepaskan ke perairan umum di Pahang sejak 2010.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, aktiviti pelepasan benih dilakukan sepanjang tahun membabitkan beberapa sungai utama dan tasik di negeri ini dalam usaha menambah sumber perikanan.

Katanya, jabatan berharap golongan nelayan darat dan masyarakat setempat serta peminat aktiviti memancing mendapat memanfaat daripada program pelepasan benih ikan dan udang galah yang dilakukan itu.

“Kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat dilakukan dalam menjayakan aktiviti pelepasan benih ikan dan udang galah yang turut akan menjadi produk pelancongan di kawasan terbabit.

“Jabatan sentiasa berusaha menambah sumber perikanan di beberapa sungai utama seperti Sungai Pahang, Sungai Rompin dan Sungai Jelai yang selama ini terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar dan udang galah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan 43,000 benih ikan dan udang galah bagi memperkayakan biodiversiti Sungai Bandaraya Kuantan yang dirasmikan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin, di sini.

Abdullah berkata, pihaknya melepaskan 3,000 benih ikan siakap dan 40,000 benih udang galah di beberapa lokasi sepanjang Sungai Kuantan termasuk hadapan Menara 188 Kuantan.

Katanya, program di Sungai Kuantan itu dilakukan setiap tahun, namun kali ini lebih 100 induk udang galah dewasa dilepaskan.

“Bagi memastikan sumber perikanan di negeri ini terus kekal kerjasama masyarakat dan pemancing diperlukan dengan melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya terdapat kegiatan meracun tuba, bahan letupan dan elektrik,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  7  =