115,000 rumah Johor untuk rakyat

 115,000 rumah Johor untuk rakyat

Ayub Jamil

ISKANDAR PUTERI – Perbadanan Perumahan Negeri Johor (PPNJ) yang baharu diwujudkan bagi menggerakkan Program Khas Rumah Johor dengan anggaran pembinaan sebanyak 115,000 unit kediaman mampu milik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, agensi baharu ditubuhkan kerajaan negeri itu akan mula beroperasi pada Februari ini.

Pihaknya meletakkan sasaran pembinaan rumah mampu milik sebanyak 115,000 itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh antara lima hingga tujuh tahun.

“Walaupun kos bahan binaan meningkat, namun sambutan dalam kalangan pemaju baharu yang ingin menyertai Program Khas Rumah Johor amat menggalakkan.

“Program Khas Rumah Johor mengutamakan pembinaan rumah yang berkualiti dan bernilai kerana rakyat berhak memilikinya memandangkan Johor mempunyai sumber asas yang kukuh dan luas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 27 November lalu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad telah melancarkan Projek Perintis Rumah Johor Kategori Rumah Makmur Johor (Rumah Teres setingkat) di Gerbang Nusajaya dan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 42,000 permohonan diterima walaupun projek berkenaan hanya menawarkan 2,750 unit sahaja.

Ayub berkata, Program Khas Rumah Johor itu dijangka akan membantu sektor pembinaan dan perumahan di negeri ini yang malap sejak dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

“Program ini juga akan membantu pemaju untuk meneruskan projek yang lain tanpa sekatan dan dalam masa yang sama pemaju lain dapat membina Rumah Johor yang tidak dibina sejak 24 tahun yang lalu.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap menerusi inisiatif ini hasrat dan harapan rakyat Johor untuk memiliki rumah berkualiti dan bernilai tinggi akan dapat dicapai,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  7  =  1