113,200 benih tiga spesies ikan air tawar dilepaskan

 113,200 benih tiga spesies ikan air tawar dilepaskan

engarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar (kanan) melepaskan benih ikan lampam sungai di Sungai Jelai di Kampung Telang

Oleh Mohd Fikri Mie

LIPIS, 13 Jun – Jabatan Perikanan Pahang melepaskan sebanyak 113,200 pelbagai spesies ikan air tawar diperairan umum di daerah ini, Raub dan Pekan, kelmarin.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pelepasan diperairan Tasik Chini, Pekan membabitkan sebanyak 28,300 ekor benih spesies ikan kerai, baung dan lampam sungai.

Menurutnya, di daerah ini pelepasan dilakukan di dua lokasi membabitkan Sungai Jelai di Kampung Telang dan Sungai Telang di Kampung Lubuk Kulit, sebanyak 50,000 ekor benih lampam sungai, 6,000 (baung) dan 600 (kerai) dilepaskan dua sungai utama berkenaan.

Katanya, di daerah Raub pelepasan sebanyak 25,000 ekor benih ikan lampam sungai, 3,000 (baung) dan 300 (kerai) dilakukan di Sungai Lipis di Kampung Jeram Besu yang terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar lain.

Program pelepasan sebanyak 28,300 benih ikan lampam sungai, kerai dan baung turut diadakan di Sungai Telang di Kampung Lubuk Kulit

“Program pelepasan benih tiga spesies ikan air tawar yang terkenal di negeri ini bertujuan meningkat stok ikan di perairan sungai utama seterusnya dapat menambahkan lagi sumber pendapatan nelayan darat pada masa akan datang.

“Setiap tahun jabatan mengadakan program pelepasan benih ikan air tawar spesies terpilih dihampir semua sungai utama daerah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan benih ikan air tawar di Sungai Telang, di sini kelmarin.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun sejak 2010 jabatan melepaskan sebanyak 12.8 juta benih pelbagai spesies ikan dan udang galah ke perairan umum negeri ini.

Menurutnya, jabatan berharap golongan nelayan darat dan masyarakat setempat serta peminat aktiviti memancing mendapat memanfaat daripada program pelepasan benih ikan dan udang galah yang dilakukan.

“Dalam memastikan sumber perikanan air tawar diperairan umum di negeri ini terus kekal semua pihak perlu bekerjasama memastikan tidak berlaku aktiviti menyalahi undang-undang seperti menuba, meracun, mengunakan bahan letupan dan arus elektrik.

“Hanya kerjasama masyarakat sahaja dapat mengesan pihak tidak bertanggungjawab untuk dihadap ke mahkamah,” katanya sambil menambah, jabatannya akan terus menambah jumlah benih ikan untuk dilepaskan.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *