11 kru Vietnam ditahan candat sotong dalam kawasan larangan

 11 kru Vietnam ditahan candat sotong dalam kawasan larangan

KUANTAN – Dua bot tempatan yang 11 kru warga Vietnam ditahan kesalahan mencandat sotong di kawasan 10 batu nautika perairan Pekan dekat Kuala Pahang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 28 Jun – Dua tekong dan sembilan kru warga Vietnam ditahan bersama dua bot tempatan kerana kesalahan mencandat sotong di kawasan 10 batu nautika perairan Pekan dekat Kuala Pahang, semalam.

Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 49 tahun, turut dirampas kira-kira 500 kilogram (kg) sotong.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, kehadiran dua bot itu disedari anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) jabatan berkenaan ketika melakukan rondaan pada 5.15 pagi.

Menurutnya, aktiviti menangkap sotong bagi kelas bot berkenaan hanya dibenarkan di kawasan 12 batu nautika ke atas sahaja namun ketika ditahan dua bot milik rakyat tempatan berada di kawasan 10 batu nautika.

Katanya, bagi kesalahan melanggar syarat lesen itu mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 akta yang sama.

KUANTAN – Dua tekong dan sembilan kru warga Vietnam ditahan bersama dua bot tempatan kerana kesalahan mencandat sotong di kawasan 10 batu nautika perairan Pekan dekat Kuala Pahang, semalam. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Semalam CPS turut berjaya menahan sebuat bot tempatan dengan hasil tangkapan 100kg ikan bersama seorang tekong dan empat awak-awak tempatan yang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kawasan tujuh batu nautika perairan Kuala Pontian, Endau Rompin.

“Aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda hanya boleh dilakukan di kawasan 12 batu nautika keatas, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 11, 3 (b) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 akta yang sama,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, dua bot bersama 11 kru warga Vietnam kini ditempatkan pangkalan CPS Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang, di sini sementara bot pukat tunda ditempatkan di jeti nelayan Endau untuk proses tindakan undang-undang.

Abdullah berkata, pihaknya akan terus melakukan rondaan di perairan negeri ini dalam memastikan nelayan tidak melanggar peraturan serta undang-undang sedia ada terutama membabitkan kawasan penangkapan dan kaedah penangkapan hasil laut.

“Kami tidak akan berkompromi dengan nelayan yang melakukan kesalahan, tindakan tegas menanti mereka yang dianggap degil.

“Penggunaan peralatan moden oleh nelayan sepatutnya dapat membantu mereka mengesan kedudukan ikan di laut tetapi bukan dengan sesuka hati menangkap di kawasan larangan.

“Jabatan juga berharap nelayan tempatan dapat bekerjasama dengan memberi maklumat sekiranya terdapat aktiviti menangkap ikan yang melanggar peraturan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  +    =  51