11 dicekup polis terlibat kegiatan pelacuran

 11 dicekup polis terlibat kegiatan pelacuran

Seramai 11 individu ditahan dalam Ops Noda dalam serbuan di premis di Taman Daya, di sini semalam.

JOHOR BAHRU, 14 Ogos — Polis menahan 11 individu termasuk empat warganegara asing dalam Ops Noda kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran di sebuah premis di Taman Daya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pukul 5.45 petang itu, kesemua individu yang ditahan berusia antara 23 hingga 36 tahun.

Kesemua suspek yang ditahan itu juga telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita Thailand, seorang wanita dan seorang lelaki Myanmar.

“Penjaga permis telah dikenakan kompaun RM10,000 manakala enam warga tempatan yang lain dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, kesemua suspek termasuk warga asing itu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB 2021) dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan dikenakan denda.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyan 55B Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi 12 bulan atau ke dua-duanya sekali.

“Suspek juga boleh disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan jika disabit kesalahan.

“Polis menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat awam. Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhinya,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  3  =