10,000 pokok balak ditanam di kawasan ceroboh

 10,000 pokok balak ditanam di kawasan ceroboh

Oleh Mohd Fikri Mie

 

RAUB, 29 April – Usaha memulihkan semula kawasan Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, seluas 16.2 hektar yang diceroboh segera dilakukan dengan aktiviti menanam 4,000 pokok balak pelbagai spesies.

Program gotong-royong menanam selama tiga hari berakhir semalam membabitkan lebih 70 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) semua daerah dan kira-kira 1,000 pokok telah ditanam.

Penolong Pengarah Silvikultur Zon Pahang Barat, Wan Ghazali Wan Ali berkata, fasa pertama menanam dilakukan awal bulan ini membabitkan lebih 100 pokok balak spesies keladan oleh kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub.

Fasa kedua menanam selama tiga hari berakhir semalam dan fasa ke tiga dijangka diadakan Julai depan yang melibatkan pokok keladan, meranti tembaga dan gerutu pasir.

Katanya, bekalan benih diperoleh daripada Tapak Semaian Rotan Tunggal, PHD Raub dan Tapak Semaian Terenggun, PHD Lipis.Hanya benih berumur enam bulan hingga setahun sahaja diambil.

“Walaupun Ramadan kita tetap dengan aktiviti menanam semula kawasan ceroboh bagi memastikan usaha menghijaukan semula hutan berjalan mengikut rancangan serta keperluan ditetapkan.

“Kita perlu segera menanam pokok bagi mengurangkan peratus hakisan di kawasan ceroboh berkenaan yang sebelum ini terdapat tanaman pisang dan durian klon Musang King dan Duri Hitam,” katanya, semalam.

Beliau menambah, pihaknya akan menanam kira-kira 10,000 dalam kawasan seluas 16.2 hektar, kedudukan Hutan Simpan Sempam yang berbukit menjadi cabaran kakitangan JPNP untuk menjayakan projek berkenaan.

Wan Ghazali berkata, selepas mengangkat anak pokok kerja mengukur jarak tanaman, mengali lubang dan kerja menanam dilakukan.Kekuatan fizikal diperlukan untuk melakukan kerja berkenaan.

Sementara itu, Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, pihaknya mengesan terdapat pencerobohan Hutan Simpan Sempam untuk aktiviti pertanian dalam kawasan seluas 16.2 hektar pada awal bulan ini.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati kawasan terbabit diusahakan dengan lebih 5,300 pokok pisang dan durian klon Musang Kibg dan Duri Hitam berumur antara tiga hingga empat bulan.

“Kita bertindak tegas dengan menebang semua pokok berkenaan selain turut meroboh pondok tempat tinggal pekerja,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  −    =  81