10,000 pohon Tecoma serikan ibu kota

 10,000 pohon Tecoma serikan ibu kota

Oleh Suraya Ali 

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Orang ramai mengatakan sekarang musim bunga sakura seperti di Jepun dan Korea tetapi fenomena yang melanda seluruh negara kini ialah pokok Tecoma yang merimbun berbunga merah jambu muda, putih, ungu dan merah jambu setiap penghujung Mac.

Sejak minggu lalu, pokok Tecoma yang berbunga lebat telah mencetuskan suasana warna menarik di tepi jalan dan taman awam di sekitar ibu negara selain Puchong, Putrajaya, Selayang, Johor Bahru, Miri, Alor Setar dan Sungai Petani, sekali gus menjadi viral dalam pelbagai platform media sosial.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pokok Tecoma ditanam sebagai tanaman pinggiran jalan yang berfungsi bukan sahaja sebagai pokok teduhan tetapi juga sebagai hiasan kerana ia menghasilkan bunga yang menarik iaitu merah jambu dan putih.

Ketika ini, terdapat 10,030 pokok Tecoma telah ditanam oleh DBKL di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Daripada jumlah itu, 1,173 pokok ini berada di pinggir jalan sekitar bandaraya ini dan sebahagian besar lagi ditanam di taman-taman awam di bawah seliaan DBKL.

Ketika ini, pokok-pokok ini boleh dilihat di pinggiran jalan utama seperti di sekitar kawasan Jalan Kelang Lama, Jalan Kuching, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Metroprima Kepong dan Lebuhraya NPE.

DBKL mengesahkan penanaman pohon Tecoma akan diperluaskan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

Dewan bandaraya turut mengingatkan orang ramai juga memastikan keindahan ini terus berkekalan untuk dinikmati bersama.

Suasana ‘Sakura Malaysia’ dapat dilihat diserata negara: Tiga beradik Mohamad Amri Abdul Ahmad Nazri, 28, (kiri), Nur Amirah, 18, dan Muhamad Nur Aizat, 22, (kanan) berbasikal berlatarbelakangkan keindahan bunga Tecoma di Pendang, Kedah

Pokok Tecoma atau dikenali juga dengan pelbagai nama seperti pokok kertas tisu, pokok terumpit atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Pink trumpet tree, Pink poui, Pink tecoma atau Rosy trumpet tree manakala nama saintifiknya adalah Tabebuia rosea dari family Bignoniaceae.

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, pokok Tecoma dikatakan berasal dari selatan Mexico berlarutan sehingga ke Venezuela dan Ecuador.

“Sebenarnya pokok-pokok kertas tisu ini bukan sahaja sedang mekar penuh di Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya, Melaka atau Johor Bahru, malah ianya juga sedang mekar kembang di San Jose, di Costa dan kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya.

Fenomena cuaca panas dan kering pada Februari dan Mac adalah tempoh yang sesuai untuk pokok tecoma ini berbunga kerana sifatnya yang memerlukan cuaca sedemikian untuk menggalakkan proses pendebungaan.

Bunga pokok Tecoma bersaiz besar, dalam pelbagai nada warna iaitu merah jambu, ungu, putih, merah dan muncul ketika pokok ini tidak mempunyai atau sangat sedikit daun.

Warna bunganya yang pelbagai menjadikan tanaman ini sering ditanam sebagai tanaman hiasan yang menarik apatah lagi ketika musim ia berbunga.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  68  =  78