1,000 ahli DAP keluar parti, berhasrat sertai BERSATU

 1,000 ahli DAP keluar parti, berhasrat sertai BERSATU

JOHOR BAHRU, 12 Januari – Kira-kira 1,000 ahli DAP daripada 13 cawangan di seluruh negeri ini mengumumkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Pengumuman tersebut dibuat mereka dalam satu sidang media di Dato’ Dr. Harjit Singh Johor Cricket Academy and Oval, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, K. Alagenthiran.

Jurucakap kumpulan tersebut, A. Sandra Segaran memberitahu, mereka merupakan ahli DAP, antaranya Cawangan Taman Nusa Bestari, Taman Mewah, Taman Nesa, Senai Utama, Taman Puteri Wangsa, Kampung Sepakat, Bekok Timur dan Tangkak Jaya.

Sandra Segaran (depan, empat dari kanan) mengumumkan keluar DAP dalam sidang media di Dato’ Dr. Harjit Singh Johor Cricket Academy and Oval, Johor Bahru, hari ini.

Beliau yang kini bekas Ketua Cawangan DAP Taman Nusa Bestari berkata, keputusan berkenaan diambil selepas berbincang dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

“Chin Tong gagal dalam peranannya untuk memimpin, malah beliau mengamalkan sistem ‘devide and rule’ selain menjadi diktator dan tidak berminat untuk mendengar pandangan rakan-rakan akar umbi.

“Kami juga berasa diketepikan oleh jawatankuasa DAP negeri selepas pemilihan di peringkat negeri pada Mei tahun lalu,” katanya. 

Sementara itu, Alagenthiran berkata, ramai dalam kalangan bekas ahli DAP itu menyatakan hasrat untuk menyertai BERSATU tetapi mereka masih belum membuat keputusan muktamad.

Mereka akan membuat pengumuman mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen Chin Tong tidak berhasil apabila beliau gagal dihubungi.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

51  +    =  55