100 hari MITI: Pengukuhan ekonomi kunci kekuatan negara

 100 hari MITI: Pengukuhan ekonomi kunci kekuatan negara

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Pengukuhan ekonomi adalah kunci kepada kekuatan sesebuah negara dan lantaran itu adalah penting bagi mencapai persekitaran perdagangan dan pelaburan yang dinamik. 

Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata terdapat dua keutamaan yang menjadi tumpuan beliau dalam mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) iaitu menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.

“Tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah kepada pemerkasaan golongan B40, membawa mereka keluar daripada tekanan dan memberikan satu sumber ekonomi yang stabil.

“Bagi mencapai tumpuan utama tersebut, kita perlu memastikan kesinambungan perniagaan kekal terjalin serta mengawal pandemik yang berlaku dengan pelaksaan SOP dengan ketat. Perniagaan yang terjamin akan memberikan pengekalan pekerjaan, seterusnya memastikan ekonomi rakyat kekal terpelihara.

Beliau berkata, MITI komited dalam mencapai kadar vaksinasi lengkap dikalangan pekerja sektor pembuatan melalui program PIKAS. #PIKAS telah menunjukkan kejayaan dengan mencapai 85.5% kadar vaksinasi lengkap berbanding sasaran awal sebanyak 80%.
“Dari segi pelaburan, sukacita saya ingin nyatakan, sebanyak RM109.1 bilion pelaburan telah diluluskan dalam tempoh tiga bulan yang lalu dengan penciptaan 25,881 peluang pekerjaan baru.

“Pelaburan ini penting bagi memperkukuhkan pasaran pekerjaan sekaligus menurunkan kadar pengangguran yang telah meningkat sejak pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau. 

Menurut Azmin lagi, pelaburan berkualiti tinggi akan terus ditingkatkan terutamanya dalam portfolio ESG kerana terdapat banyak lagi firma asing yang meninjau untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi operasi mereka.

“Bank Dunia juga mengunjurkan Malaysia akan mengalami peralihan daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Sudah tentu dengan langkah dan inisiatif berterusan kerajaan, kita dalam landasan tepat untuk mencapai status berkenaan.

“Ini adalah isyarat awal memulakan semula enjin ekonomi Malaysia ke arah yang lebih baik, dan ia tidak akan berhenti sehingga Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi dan kekal menjadi hab ekonomi serantau,” katanya.

Peningkatan nilai eksport sektor pembuatan pada September, Oktober dan November dianggarkan untuk mencecah RM325.6 bilion.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  78  =  88