10 pelajar terharu dapat telefon pintar sumbangan PTPTN

 10 pelajar terharu dapat telefon pintar sumbangan PTPTN

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Seramai 10 pelajar daripada keluarga miskin tegar di SMK Hosba, Changlun di Kedah, lega apabila mendapat tablet pintar untuk memudahkan mereka mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) baru-baru ini.

Penolong Kanan (Ko-kurikulum) sekolah terbabit, Ainol Anwar berkata pihaknya mendapati ada di antara pelajar di kesan tidak menghadirkan diri dalam kelas di talian ketika sesi PdPR berlangsung.

Katanya, hasil siasatan mendapati punca mereka tidak menghadirkan diri dalam kelas secara dalam talian kerana tidak ada kemudahan telefon pintar, selain tergolong dalam kategori miskin tegar.

“Kita dapat kesan ada pelajar tak masuk PdPR. Bila kita siasat, mereka dalam kategori miskin tegar dan tinggal di kawasan agak pendalaman.

“Kalau ada telefon pun, mereka berkongsi dengan mak ayah adik. Itu menyebabkan pelajar tidak dapat akses apa yang guru nak ajar.

“Kami ajukan permohonan ini kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), alhamdulillah melalui Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan, bantuan ini dapat direalisasikan untuk pelajar-pelajar tidak tercicir dalam arus pendidikan,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Sewaktu menyerahkan pemberian sumbangan itu, kata Ainol, ada di antara pelajar dan ibu bapa yang sebak apabila mendapat tahu permohonan tersebut diluluskan.

“Mereka ucapkan terima kasih kepada PTPTN dan juga kepada Datuk Wan Saiful.

“Ada yang bila kami bagi tablet, mereka menangis dan sebak kerana terharu.

“Pelajar-pelajar ini boleh kembali belajar di waktu PKP agar mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan.”

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *