10 PATI warga Indonesia baru mendarat ditahan PGA

 10 PATI warga Indonesia baru mendarat ditahan PGA

PGA menahan empat ‘transporter’ dan 10 PATI dalam kebun kelapa sawit di Jalan Kampung Serong Laut, Serkat, Pontian, semalam. Foto WMY/Nurman Nasyriq

PONTIAN, 28 Jun – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan sejurus mendarat di kawasan kebun sawit di Jalan Kampung Serong Laut, Serkat di sini semalam.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam yang melakukan serbuan itu jam 9.30 pagi turut menahan empat lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ termasuk seorang dalangnya dikenali sebagai Boi.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, mereka yang ditahan dalam Op Benteng itu terdiri daripada empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun.

“Selain itu, lima lelaki dan lima wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 36 tahun turut ditahan berdekatan rumah penampungan dalam kebun sawit berkenaan.

Turut dirampas empat buah kenderaan yang digunakan sindiket tersebut, iaitu Toyota Wish, Perodua Bezza, Perodua Alza dan Perodua Kenari. Foto WMY/Nurman Nasyriq

 

Hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku memasuki negara ini melalui jalan laut dan mendarat di Kampung Kubur Telok Kerang sebelum dihantar oleh keempat-empat transporter tersebut ke rumah penampungan itu.

Menurutnya, semua suspek dipercayai dalam proses penghantaran ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur semasa tangkapan dilakukan.

Hasil soal siasat juga mendapati aktiviti itu didalangi lelaki bernama Boi dan sudah bergerak aktif sejak setahun lalu.

Dimin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM197,537.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut serta kes disiasat di bawah Seksyen 26(a) Akta Atipsom 2007, Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −    =  40