10 mangsa bot karam diserahkan kepada Konsulat Indonesia

 10 mangsa bot karam diserahkan kepada Konsulat Indonesia

Mohammad (kiri) menyerahkan pasport 10 kru bot yang karam kepada wakil Konsulat Republik Indonesia, Abdul Hamid di pejabat Zon Maritim Batu Pahat

Oleh Nurman Nasyriq

BATU PAHAT, 26 April – Seramai 10 kru warga Indonesia yang terselamat dalam kejadian dua bot karam di Pulau Pisang, dekat sini kelmarin diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia kelmarin.

Penyerahan berkenaan dilakukan di pejabat Zon Maritim Batu Pahat di sini jam 2 petang.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman menyerahkan mereka kepada wakil pejabat Konsulat Republik Indonesia di Johor Bahru, iaitu Dolly Prima dan Abdul Hamid.

Dalam kejadian jam 4 pagi Jumaat, kedua-dua bot berkenaan karam pada kedudukan 5.6 dan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

Kedua-dua bot itu membawa muatan kelapa bulat dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke sini.

Ketika dalam perjalanan, mereka berdepan cuaca buruk serta hujan lebat. Bot pertama yang membawa enam kru lelaki warga Indonesia telah karam, namun kesemua kru diselamatkan nelayan tempatan yang berada berhampiran.

Sementara itu, empat kru lelaki warga Indonesia dari bot kedua diselamatkan bot lain yang berada di kawasan berhampiran.

Kesemua mereka yang selamat itu berusia antara 22 hingga 53 tahun.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −  45  =