10 ahli Geng 21 Kluang diberkas

 10 ahli Geng 21 Kluang diberkas

Seramai 10 ahli kumpulan Geng 21 Kluang berjaya ditangkap dalam Op Cantas, baru-baru ini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 2 Mac : Sepandai-pandai tupai melompat, akhir jatuh ke tanah juga, demikian juga dengan nasib 10 ahli kumpulan kongsi gelap, Geng 21 Kluang yang diberkas polis dalam lapan siri serbuan di tiga daerah di negeri ini pada 16 Januari lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan bermula jam 2.30 pagi itu, pihaknya berjaya menahan semua suspek berusia antara 29 hingga 44 tahun di sekitar Kluang, Yong Peng dan Johor Bahru.

“Semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta jenayah kekerasan.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas dua helai disyaki lambang Geng 21, 17 telefon bimbit serta dua bilah pisau lipat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan memberitahu, dengan penahanan kumpulan gkongsi gelap terbabit, polis berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah kekerasan yang melibatkan kes samun berkumpulan dengan mendatangkan cedera parah.

Kumpulan kongsi gelap ini aktif melakukan kegiatan pemerasan di tapak projek pembinaan, ugutan jenayah serta mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata di daerah Kluang sejak 2019 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, lapan daripada suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) untuk siasatan lanjut.

“Seorang suspek telah dituduh di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan telah mengaku di mahkamah serta dikenakan hukuman denda RM1,500 manakala seorang lagi suspek dibebaskan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  29  =  31